
Kem bermula pada jam 2.30 petang Jumaat 24 April 2009 bertempat di Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, Bandar Bukit Tinggi, Klang.
Aktiviti bermula dengan solat Asar berjemaah dan diteruskan dengan program riadah berkumpulan. Selepas solat Maghrib dan Isyak berjemaah, para peserta menikmati makan malam bersama-sama dengan guru-guru dan pihak pentadbir sekolah.
Sejajar dengan Dasar Pendidikan Negara yang menekankan kepada kecemerlangan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI), para peserta melalui proses pembentukan dan pengukuhan emosi dan rohani di mana sesi ‘Ice-Breaking’ dan muhasabah diri dijalankan oleh guru kaunseling. Segmen ini berjaya menepati objektifnya bagi membuka dan mengaktifkan minda separa sedar pelajar tentang diri mereka serta tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa, guru, rakan-rakan, masyarakat mahu pun diri mereka sendiri. Sentuhan guru kaunseling dengan dibantu oleh ramai lagi guru-guru berjaya menerap dan meresapkan kesedaran serta meningkatkan tahap motivasi dan kesedaran pelajar sehingga ramai yang masih tersedu-sedan di dalam tidur mereka.
Program hari kedua bermula dengan solat subuh berjemaah dan diteruskan dengan aktiviti pemantapan jasmani. Mereka kemudiannya dipecahkan mengikut unit masing-masing untuk motivasi serta perincian dan tugas serta tanggungjawab mereka di sekolah.
Para peserta bergabung kembali untuk motivasi kepimpinan yang memfokuskan kepada pengisian intelektual pelajar. Mereka menerima pendedahan secara terperinci akan pengertian ‘JERI’ serta kaedah dan perlaksanaannya. Peserta juga berkesempatan melakukan ‘role-play’ komunikasi berkesan yang memfokuskan kepada bahasa tubuh dan bahasa minda.
Program berakhir pada jam 12.30 tengahari dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, En. Abdul Aziz Saidin. Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh En. Idris Ibrahim, Yang DiPertua PIBG, Sekolah Kebangsaan Batu Unjur.
Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada :
1) Pelajar-pelajar yang begitu setia mengikuti dan memberikan perhatian di sepanjang program.
2) Guru-guru (melebihi 40 orang) yang begitu tekun dan prihatin di dalam memastikan kelancaran program.
3) Ibubapa dan AJK PIBG yang turut serta memberikan sokongan moral.